Monday, January 25, 2010

Penulis blog hina Almarhum Sultan Iskandar ditahan

JOHOR BAHRU: Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Aduka Taruna, akhirnya ditahan polis petang semalam bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri. Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di sekitar Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jam 4 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, ketika dihubungi mengesahkan penahanan penulis blog itu yang disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, penulis terbabit boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, selain dikenakan denda tambahan RM1,000 setiap hari dalam tempoh kesalahan. Mohd Mokhtar berkata, lelaki terbabit dibawa ke IPD Muar kerana laporan awal yang dibuat terhadapnya, diterima IPD berkenaan. Selain itu, IPD Kluang menerima 23 laporan yang dibuat orang awam serta ahli politik berhubung kenyataan penulis blog berkenaan; IPD Batu Pahat (empat); Johor Bahru Selatan (tiga) dan satu di IPD Seri Alam.
Sehubungan itu, Mohd Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang penghinaan, fitnah mahupun tuduhan tidak berasas di blog. "Polis berkemampuan menjejaki pihak bertanggungjawab yang menyalahguna saluran multimedia," katanya. Difahamkan, penulis blog yang beralamat di Seremban, Negeri Sembilan itu, menyembunyikan diri di Kota Bharu selepas kenyataan yang disiarkan dalam blognya, Sabtu lalu, menimbulkan kemarahan ramai pihak. Penulis blog terbabit menerima lebih 1,000 komen susulan kenyataan itu, dengan sebahagian besarnya menyatakan rasa tidak puas hati dan ada yang mengugut untuk membunuhnya.
Aduka Taruna dipercayai penulis blog keempat ditahan polis kerana menyiarkan kenyataan berunsur penghinaan atau hasutan. Pada 0gos 2008, penulis blog `Penarik Beca', Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sebagai satu penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai supaya membenci polis
.