Datuk Nasir Safar yang berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun razak dikenali sebagai seorang yang cukup ramah dan amat disenangi oleh rakan-rakan sejak zaman beliau dalam Pergerakan Pemuda UMNO dulu. Pagi Selasa entah kenapa beliau didakwa membuat kenyataan yang mennyinggung perasaan kaum di forum 1Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Budaya di MITC, Ayer Keroh Melaka. Satu kenyataan Jabatan Perdana Menteri lewat petang Selasa memberitahu Nasir akan meletakan jawatan ekoran insiden itu. Bagaimanapun menurut kenyataan berkenaan apa yang dinyatakan oleh Nasir di forum berkenaan tidak langsung mencerminkan pandangan Perdana Menteri. “Datuk Nasir tidak pernah berniat untuk membuat sebarang kenyataan yang bersifat menghina.Beliau telah bercakap dengan panjang lebar mengenai sumbangan yang dibuat oleh semua kaum dalam membangunkan negara ini.Bagaimanapun Datuk Nasir memohon maaf sekiranya membuat kesilapan,”kata kenyataan itu.
Nasir yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor pada zaman Tan Sri Muhyiddin menjadi Menteri Besar didakwa berkata, kaum bukan Melayu di negara ini asalnya adalah pendatang dan peminta sedekah.
Ini dikatakan timbul semasa beliau merujuk kepada beberapa isu dan tuntutan yang dibuat oleh kaum bukan Melayu dalam soal polisi pendidikan negara.
Ekoran itu beberapa peserta dari MIC dan MCA dikatakan keluar meninggalkan dewan. Sementara itu kalangan pemimpin India termasuk Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu menbuat kenyataan mendesak tindakan dikenakan keatas Nasir.