Wednesday, October 27, 2010

Inti Pati teks ucapan penuh Presiden UMNO merasmikan Perhimpunan Agung UMNO ke 61

Melayu itu, kaya falsafahnya

Melayu itu, orang yang bijaksana
Akal budi bersulamkan daya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,

Saudara dan Saudari,

Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya:

Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muallaf bertakrif Melayu

Mendakap realiti semasa Malaysia pula:

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,
Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan:

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung
Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat
Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:

Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.

Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.

Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.

Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah. Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.

Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran Al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan. Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Tanggungjawab moral dalam pengurusan kaum

Gerak kerja Umno
Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu…… seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu…… seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu…… mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.

Justeru, saya sebagai Presiden Umno…… tidak mahu….. menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden Umno beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela…… melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu…… melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

Umno tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.

Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang Umno tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan Umno musnah.

Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.

Umno bukanlah sebarang parti, Umno lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, Umno telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas Umno telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru Umno.
Kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.

Ayuh..

Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi..
Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi..
Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi..
Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..

Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.
Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran.