Wednesday, October 27, 2010

Inti Pati teks ucapan penuh Presiden UMNO merasmikan Perhimpunan Agung UMNO ke 61

Melayu itu, kaya falsafahnya

Melayu itu, orang yang bijaksana
Akal budi bersulamkan daya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,

Saudara dan Saudari,

Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya:

Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muallaf bertakrif Melayu

Mendakap realiti semasa Malaysia pula:

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,
Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan:

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung
Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat
Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:

Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.

Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.

Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.

Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah. Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.

Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran Al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan. Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Tanggungjawab moral dalam pengurusan kaum

Gerak kerja Umno
Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu…… seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu…… seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu…… mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.

Justeru, saya sebagai Presiden Umno…… tidak mahu….. menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden Umno beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela…… melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu…… melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

Umno tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.

Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang Umno tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan Umno musnah.

Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.

Umno bukanlah sebarang parti, Umno lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, Umno telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas Umno telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru Umno.
Kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.

Ayuh..

Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi..
Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi..
Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi..
Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..

Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.
Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran.

Sunday, May 2, 2010

Kembali Terjalin Sebagai Suami Isteri



Cawangan mengucapkan kepada Sdr Zulhamari menjalin semula sebagai kehidupan Suami isteri yang sah setelah 4 tahun berpisah.

Dorongan anak-anak agar untuk menjadikan ibubapanya kembali semula telah terlaksana pada 30/04/2010 bila mereka ini diijabkabulkan semula. Tahniah diucapkan.

Thursday, March 18, 2010

KEJUTAN DI DEWAN RAKYAT- Zahrain londeh pekong Anwar untuk jayakan gerakan 16 September ….

Ia bagai satu kejutan. Kejadian ini berlaku selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang menguasai sidang Dewan Rakyat pada Rabu selama kira-kira tiga jam membahaskan usul ucapan terima kasih titah Yang Dipertuan Agong.
Dewan gamat sekali sekala semasa perbahasannya terutama ketika Anwar bertikam lidah dengan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang meminta Anwar menjelaskan isu berdansa dengan seorang wanita yang dikatakan anak tauke judi.
Anwar tidak menjawab isu tersebut dan perbahasan olehnya berakhir kira-kira jam 5 petang Rabu.
Kejutan bermula apabila bekas Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim pula bangun berucap sebagai pembahas kedua atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bebas..
Tanpa membuang masa dan di luar dugaan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, beliau terus masuk gear lima membuat pendedahan apa yang didakwanya pembohongan pimpinan PKR untuk meyakinkan mereka fasal gerakan 16 September untuk menumbangkan kerajaan BN boleh berjaya. Katanya beliau terpaksa mengambil langkah berani keluar PKR jadi Ahli Parlimen Bebas kerana keraguan telah menyelubungi pemikiranya pada perjuangan PKR.
Menurut Zahrain beliau sebenarnya tidak berhasrat untuk mengungkit tindakannya keluar PKR tetapi kerana character assignation yang dijalankan ke atas dirinya dan keluarganya. Dakwanya agenda perjuangan PKR kini menjadi agenda peribadi hingga adanya gerakan menawan Putrajaya at all cost.
Beliau mendakwa antaranya mereka dibohongi kononnya jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional yang hendak melompat sudah mencukupi. Dakwanya mereka juga diberitahu bahawa Yang Dipertuan Agong sedang menunggu di istana untuk mendapatkan pengesahan jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional yang melompat (30 orang) bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan.
‘Tembakan’ Zahrain ini menyebabkan ada ahli parlimen pembangkang di dalam Dewan bangun dan menjerit-jerit marah ke arah bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu.
Zahrain tanpa menghiraukan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang bangun menganggu pendedahannya itu berkata, “Yang Dipertuan Agong juga dikatakan kononnya merestui Anwar jadi Perdana Menteri keenam.”
Dakwanya lagi, mereka juga diberitahu bahawa Angkatan Tentera Malaysia menyokong mereka.
”Kami disogok cerita kononnya Panglima Angkatan Tentera dan angkatan tentera memberi sokongan pembentukan kerajaan oleh Pakatan Rakyat yang diketuai oleh ( Ahli Parlimen) Permatang Pauh,” katanya. Zahrain mendakwa waktu itu semua Ahli Parlimen pembangkang diminta berada di kawasan masing-masing untuk bersiap sedia kemungkinan mereka amblialih kuasa bila-bila masa saja.
Gobalakrishnan terus bangun mengatakan Zahrain menipu dan menuduhnya membangkitkan perkara itu kerana kecewa permohonan atau tender menguruskan sebuah kelab golf di Bukit Jambul Pulau Pinang tidak dilayan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dengan syarikat RM2.
Katanya kenapa selepas dua tahun (selepas pilihanraya umum) baru sekarang bercakap tentang hal itu. Zahrain menjawabya dengan tegas berkata beliau tidak akan menjual agama,bangsa dan negara kerana tender itu. Beliau juga mengulangi dakwaannya Ketua Menteri Pulau Pinang bersikap diktator dan cauvinis. Dakwannya sikap Guan Eng itu mendapat sokongan Anwar yang kononnya mendakwa juara Islam dan sebagainya. Beliau juga mendakwa Anwar seorang manusia yang bertopengkan pelbagai watak. Zahrain membangkitkan Penasihat PKR itu satu ketika dulu pernah mengelar Musyridul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan sebagai ‘ ulama terompah”. Seorang Ahli Parlimen pembangkang lain bangun mempersoalkan jika tuduh Guan Eng begitu mengapa terima bintang ‘Datuk Seri’ yang disyorkannya. Zahrain menjawab pingat itu diberi oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bukan Ketua Menteri.
Ketika ini beberapa ahli parlimen BN termasuk dari Kuala Krau Datuk Ismail Mohamad dan Datuk Mohamad Aziz - Sri Gading bangun meminta ahli parlimen pembangkang jangan menganggu Zahrain yang sedang berhujah. Mereka meminta Zahrain diberi peluang bercakap kerana sebelum ini Anwar sudah dapat bercakap tanpa diganggu selama tiga jam.
Selepas keadaan ditenangkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Bayan Baru itu meneruskan pendedahan kononnya salah seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat juga dikatakan sudah bersiap untuk mempengerusikan undi tidak percaya terhadap kerajaan Barisan Nasional di Dewan Rakyat. Katanya begitulah sandiwara pembohongan mereka.
Pendedahan ini terus mencetuskan suasana gamat dan kecoh dalam Dewan Rakyat apabila sebilangan Ahli Parlimen pembangkang bangun mempertikaikan pendedahan Zahrain manakala dalam masa sama ahli parlimen BN berteriak membantah.
Keadaan menjadi bertambah gamat apabila Anwar tiba-tiba kelihatan bersiap hendak keluar dari dewan ketika Zahrain sedang membuat pendedahan.
Anwar bagaimanapun tidak mempedulikan tempik sorak para ahli parlimen BN yang meminta jangan keluar dan mendengar pendedahan Zaharain.
Beliau melangkah keluar dari dewan pada 5.10 petang.Zahrain pula teruskan ucapannya.
Menurut Zahrain, sejarah akan membuktikan bahawa kita berdepan dengan seseorang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan politik.
Sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan pada tepat jam 5.30 petang.
Zahrain akan menyambung ucapannya esok.
Difahamkan Anwar tidak akan hadir sidang Dewan Rakyat esok kerana akan berlepas ke luar negara malam ini. Ditemui wartawan di luar dewan,Anwar mendakwa Zahrain berbohong mengenai hal-hal menjelang 16 September itu kerana kecewa mengenai isu syarikat RM2 yang gagal dapat tender kelab golf.
Sementara itu Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu,Zulkifli Nordin ketika ditemui Agendadaily untuk ditanya adakah pendedahan Zahrain ini merupakan kejutan yang beliau maksudkan bakal meletup di Dewan Rakyat beberapa hari lalu.
”Ini bukan kejutan saya.Saya yang terkejut,” katanya.
Namun katanya apa yang didedahkan oleh Zahrain itu betul.-17/3/2010

Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim terus menghangatkan sidang Dewan Rakyat, Khamis dengan menyebut beberapa nama Ahli Parlimen Barisan Nasional yang didakwa oleh pimpinan PKR nak melompat bagi menjayakan pelan 16 September.
Antara nama-nama yang disebut katanya, adalah ahli parlimen Kalabakan, Kimanis, Tawau, Sepanggar, Batu Pahat, termasuk Jerantut dan ahli parlimen Gua Musang.
“Malahan salah seorang Timbalan Speaker dikatakan akan sama melompat ke PKR,” kata Zahrain ketika menyambung perbahasan usul terima kasih titah Yang di Pertuan Agong.
Beliau menyambung perbahasan semalam yang terpaksa ditangguhkan kerana waktu sidang dewan tamat pada jam 5.30 petang.Ucapan beliau kerap diganggu ahli parlimen pembangkang terutama oleh Padang Serai N.Gobalakrishnan dan Batu, Tian Chua.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir di Dewan Rakyat hari Khamis kerana telah berlepas ke luar negara Rabu malam.
Semalam, Anwar angkat kaki kira-kira lima minit selepas Zahrain membuka pekung Ketua Pembangkang itu mengenai pelan 16 September yang turut dikaitkan dengan Yang Di Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera. Zahrain dengan nada menyindir berkata malah plat kenderaan ahli parlimen Permatang Pauh itu pun sudah ditukar menjadi WMK 6, kononnya Anwar sudah dapat restu Yang Di Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri ke 6. Zahrain sebelum itu menyifatkan pendedahannya mengenai taktik kotor mahu menawan Putrajaya dalam pelan 16 September yang disebut di Dewan Rakyat semalam ‘memang menyakitkan (ahli parlimen pembangkang) atau the truth hurts”.
“Sebab itulah kita dapat lihat dan mereka macam chimpanzee dalam sarkis kerana kebenaran itu menusuk-nusuk kalbu,” katanya.
Beliau memulang paku buah keras terhadap Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang membuat kenyataan bahawa proses pembersihan (dalam PKR) sudah selesai dan PKR kini sebuah parti yang bersih dari daki dan najis.
“Memang yang bersih dan suci sudah keluar PKR, yang tinggal hanyalah mereka yang berdaki dan najis. Saya nasihatkan Syed Husin supaya membaca buku ‘Shit’ tulisan Datuk Shahnon Ahmad,”
“Memetik kata-kata Sasterawan Negara itu, apa yang tinggal dalam PKR hari ini hanyalah ‘shit’ sahaja dan di Dewan mulia ini, saya mahu mendedahkan ‘shit’ itu supaya rakyat tidak terus terpdaya dengan politik dan silap mata PKR,” katanya.
Dalam pendedahannya, Zahrain mendakwa seorang pembantu Anwar bernama Aasil Kazi Ahmad adalah ‘spin doctor’ khususnya bagi perhubungan antarabangsa dan meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat lelaki terbabit yang dianggapnya pengkhianat bangsa.
Sesi perbahasan terus terganggu apabila beberapa ahli parlimen PAS antaranya Shah Alam Khalid Samad, Kota Raja Siti Mariah dan Titiwangsa, Dr Lo’ Lo Ghazali bangun cuba menyekat Zahrain meneruskan pendedahannya.
Ada antara mereka mengakui pelan 16 September adalah cerita lama serta semua tahu dan tidak perlu membuang masa mengungkitnya di Dewan Rakyat.
Zahrain turut mendakwa portal Malaysiakini dan Raja Petra Kamaluddin bersekongkol ‘hand in glove’ dengan pimpinan Pakatan Rakyat melakukan putarbelit dan ‘character assassination’ terhadap sesiapa yang menjadi batu penghalang kepada impian merampas Putrajay ‘att all coast,”.
Beliau seterusnyamenegur kerajaan kerana kelemahan dan kegagalan menangani masalah kegiatan memburuk-burukkan dan menghasut negara asing supaya membenci negara ini yang ada kaitan dengan pakatan rakyat.
Apapun pendedahan Zahrain semalam dan pagi ini menyebabkan ada antara ahli parlimen pembangkang yang tidak berada dalam Dewan seperti tidak mahu ‘merah muka atau telinga’ mendengar tembelang Anwar dalam isu pelan 16 September

Wednesday, February 3, 2010

Kenyataan pegawai khas PM disalah tafsir

Kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuat oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar, pada seminar 1Malaysia di Melaka, telah disalah tafsir, kata Timbalan Pengerusi Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Najieb Mokhtar. "Beliau telah mengendalikan 60 ceramah sepanjang tahun lepas dan pada tahun ini sahaja sebanyak 22 ceramah, dan tidak pernah wujud sebarang penyalahtafsiran selama ini dan ketidak fahaman selama ini. Kami yakin isu ini timbul akibat provokasi," katanya kepada pemberita .
Seramai 20 orang wakil kelab itu berkumpul di hadapan pondok pengawal Jabatan Perdana Menteri bagi memberi sokongan kepada Nasir yang didakwa mengeluarkan kata-kata pada satu seminar yang menyinggung perasaan kaum-kaum tertentu.
Pejabat Perdana Menteri ada mengeluarkan kenyataan bahawa Nasir akan meletak jawatan. Najieb berkata beliau turut hadir pada seminar itu semalam dan tidak berlaku boikot acara berkenaan seperti yang didakwa. "Terdapat 1,000 orang daripada pelbagai kaum yang hadir. Adalah dalam lima orang yang meninggalkan dewan sedangkan yang lain memberi tepukan ketika Datuk (Nasir) hendak beredar," katanya.
Najieb berharap Nasir tidak akan meletak jawatan kerana beliau masih mampu menyumbang khidmat yang baik dalam melaksanakan misi Perdana Menteri.

Tuesday, February 2, 2010

Kenyataan singgung perasaan kaum: Nasir Safar letak jawatan Pegawai Khas PM




Datuk Nasir Safar yang berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun razak dikenali sebagai seorang yang cukup ramah dan amat disenangi oleh rakan-rakan sejak zaman beliau dalam Pergerakan Pemuda UMNO dulu. Pagi Selasa entah kenapa beliau didakwa membuat kenyataan yang mennyinggung perasaan kaum di forum 1Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Budaya di MITC, Ayer Keroh Melaka. Satu kenyataan Jabatan Perdana Menteri lewat petang Selasa memberitahu Nasir akan meletakan jawatan ekoran insiden itu. Bagaimanapun menurut kenyataan berkenaan apa yang dinyatakan oleh Nasir di forum berkenaan tidak langsung mencerminkan pandangan Perdana Menteri. “Datuk Nasir tidak pernah berniat untuk membuat sebarang kenyataan yang bersifat menghina.Beliau telah bercakap dengan panjang lebar mengenai sumbangan yang dibuat oleh semua kaum dalam membangunkan negara ini.Bagaimanapun Datuk Nasir memohon maaf sekiranya membuat kesilapan,”kata kenyataan itu.
Nasir yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor pada zaman Tan Sri Muhyiddin menjadi Menteri Besar didakwa berkata, kaum bukan Melayu di negara ini asalnya adalah pendatang dan peminta sedekah.
Ini dikatakan timbul semasa beliau merujuk kepada beberapa isu dan tuntutan yang dibuat oleh kaum bukan Melayu dalam soal polisi pendidikan negara.
Ekoran itu beberapa peserta dari MIC dan MCA dikatakan keluar meninggalkan dewan. Sementara itu kalangan pemimpin India termasuk Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu menbuat kenyataan mendesak tindakan dikenakan keatas Nasir.

Monday, January 25, 2010

Sejarah Penubuhan Negeri Johor





















Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.
Pembukaan negeri Johor bermula pada awal kurun ke-16 apabila Melaka telah ditawan oleh Portugis. Sultan Mahmud Syah yang merupakan pewaris terakhir takhta kerajaan Melaka telah melarikan diri dan membuka kerajaan Johor. Pada waktu itu, Johor telah meluaskan empayarnya sehingga ke Riau.
Sejarah Johor moden bermula di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1866 seterusnya memegang gelaran “Seri Maharaja Johor”. Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan Perlembagaan Johor seterusnya membawa perubahan dalam pentadbiran negeri Johor yang lebih efisyen. Perpindahan pusat pentadbiran kerajaan Johor di Teluk Belanga ke Tanjung Puteri pada tahun 1841 memberi kesan yang positif kepada Johor terutamanya dari segi pembangunan. Pembinaan bangunan kerajaan, balai polis, masjid, mahkamah dan istana besar jelas membuktikan Sultan Abu Bakar berhak menerima gelaran sebagai “Bapa Pembangunan Johor”.
Kini, Johor yang disempadani oleh Melaka, Pahang dan Singapura merupakan salah sebuah negeri yang pesat membangun dan maju di Malaysia.
Asal Usul Nama Tempat
Wujudnya nama sesuatu tempat bergantung kepada beberapa sebab. Ada yang berpunca daripada kepercayaan atau cerita-cerita lisan (Kampung Batu Badak). Ada yang berasal daripada alam semulajadi seperti keadaan sekitar (Kukup), haiwan (Rengit) atau tumbuh-tumbuhan (Gunung Pulai) dan ada mengambil sempena nama tokoh-tokoh tempatan (Tenang). Sesetengah nama tempat pula lahir daripada peristiwa yang berlaku di tempat itu (Gelang Patah). Suatu hal yang menarik ialah perubahan yang berlaku kepada sebutan nama sesuatu tempat itu. Ada kalanya ia merupakan singkatan kata, pengubahan bunyi atau kepilatan sebutan.

Batu Pahat
Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram. Nama Penggaram itu dikatakan berasal daripada ‘pangkal jeram’, kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang mengalir dari bukit belakang bandar tersebut.
Muar
Muar lahir daripada perkataan ‘muara’ iaitu kuala sungai. Ini disebabkan oleh penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara Sungai Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam kerana sungainya yang lebar membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian Raja Iskandar Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dialahkan Majapahit pada awal abad ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, raja dan para pembesar Melaka melarikan diri melalui Sungai Muar.
Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada perkataan ‘muak’ (jemu dan ‘mu-aru’ (Bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai.
Bandar Maharani yang menjadi pusat bandar utama daerah Muar mendapat nama sempena nama Permaisuri Maharaja Abu Bakar pada 12 Ogos 1887. Oleh kerana pada masa itu Sultan Abu Bakar masih memakai gelaran Maharaja, permaisuri baginda memakai gelaran Maharani. Bandar itu dinamakan atas nama permaisuri yang megiringi Baginda dalam upacara perasmian bandar itu, Maharani Fatimah.
Mersing
Mersing mendapat nama daripada peristiwa penahanan buang daerah seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh, kerana melakukan kesalahan yang berat. Penahanan ini berlaku sewaktu Mersing belum ramai penduduk. Pekerja tersebut bernama Amer Singh, dan namanya menjadi terkenal di kawasan tersebut hingga menyebabkan tempat itu dikenali dengan nama
Mersing.
Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari peristiwa seorang dara bernama Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang bernama Awang. Oleh kerana Mersing diminati oleh anak penghulu, bapa Mersing memilih anak Penghulu bakal menantunya.
Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah fitnah. Tetapi Awang berjaya membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah tersebut. Akhirnya bapa Mersing bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya. Namun Awang tetap keras hati lalu meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di situ dalam keadaan menyesal. Dari nama dari itu lahirnya nama Mersing dan didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing.
Segamat
Nama Segamat berasal dari ungkapan kata ‘segera amat’ atau ‘segar amat’. Kata-kata itu lahir dari mulut Bendahara Tepok dalam pelariannya ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis. Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh terpaksa diusung ke perahu. Ketika sampai ke Lubuk Batu, menurut beliau, segera amat sampainya angkatan pengiring-pengiringnya ke tempat yang selamat, jauh dari ancaman Portugis. Oleh kerana pada hari itu cuaca agak panas, Bendaraha Tepok pun mandilah di situ. Kata Bendahara Tepok setelah mandi, “Segar amat rasa badan ini” kata-kata Bendahara Tepok ini menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan petempatan yang mereka duduki dengan nama Segamat.
Pontian
Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.
Kota Tinggi
Kota Tinggi mengambil nama daripada kota yang dibina di atas kawasan tinggi di tebing Sungai Johor. Pembinaan kota tersebut untuk menangkis serangan Portugis yang berusaha hendak melenyapkan kuasa Kesultanan Melayu yang telah dialahkannya di Melaka pada tahun 1511.
Oleh Kerana Sungai Johor adalah kawasan yang selamat untuk berteduh dari gelora Laut Cina Selatan , ia telah menjadi tumpuan para pedagang sejak zaman silam lagi. Zaman Ptolemy kawasan tersebut dikenali dengan nama Palanda. Banyak tinggalan lama seperti manik dan permata dari zaman Han (SM200 - TM20) dan zaman Empayar Rom pernah ditemui di Kota Tinggi.
Tangkak
Nama Tangkak timbul daripada ‘tang merangkak’. ‘tang’ berasal dari perkataan tentang yakni tempat. Peristiwa itu berlaku ketika peneroka kawasan Tangkak, Long Mahmud tujuh bersaudara terpaksa merangkak naik ke tebing Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri Makmur. Tebing-tebing sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya ditumbuhi pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia.
Kluang
Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal menakutkan keluang yang begitu banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan mungkin Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung tersebut.

Penulis blog hina Almarhum Sultan Iskandar ditahan

JOHOR BAHRU: Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Aduka Taruna, akhirnya ditahan polis petang semalam bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri. Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di sekitar Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jam 4 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, ketika dihubungi mengesahkan penahanan penulis blog itu yang disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, penulis terbabit boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, selain dikenakan denda tambahan RM1,000 setiap hari dalam tempoh kesalahan. Mohd Mokhtar berkata, lelaki terbabit dibawa ke IPD Muar kerana laporan awal yang dibuat terhadapnya, diterima IPD berkenaan. Selain itu, IPD Kluang menerima 23 laporan yang dibuat orang awam serta ahli politik berhubung kenyataan penulis blog berkenaan; IPD Batu Pahat (empat); Johor Bahru Selatan (tiga) dan satu di IPD Seri Alam.
Sehubungan itu, Mohd Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang penghinaan, fitnah mahupun tuduhan tidak berasas di blog. "Polis berkemampuan menjejaki pihak bertanggungjawab yang menyalahguna saluran multimedia," katanya. Difahamkan, penulis blog yang beralamat di Seremban, Negeri Sembilan itu, menyembunyikan diri di Kota Bharu selepas kenyataan yang disiarkan dalam blognya, Sabtu lalu, menimbulkan kemarahan ramai pihak. Penulis blog terbabit menerima lebih 1,000 komen susulan kenyataan itu, dengan sebahagian besarnya menyatakan rasa tidak puas hati dan ada yang mengugut untuk membunuhnya.
Aduka Taruna dipercayai penulis blog keempat ditahan polis kerana menyiarkan kenyataan berunsur penghinaan atau hasutan. Pada 0gos 2008, penulis blog `Penarik Beca', Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sebagai satu penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai supaya membenci polis
.